PERJUANGAN Islam memerlukan bantuan dan sokongan daripada Allah SWT. Kita tidak dapat menyaingi kebendaan dan bilangan. Kerana sunnah perjuangan Islam sejak daripada para Rasul dan orang yang mengikuti jejak Rasul memang terkebelakang daripada aspek meterial, tetapi mendahului dari aspek spritual. Allah tidak akan memberi kemenangan kepada kita seandainya kita tidak memenuhi ciri-ciri sebagai petugas Islam yang sebenar. Kerana kemenangan Islam amat mahal dan tidak semudah laluan smart tag, sebaliknya ia memerlukan diri kita dikasih oleh Allah SWT dan akan mendapat rahmat
daripadanya.
Jalan untuk mencapai ke arah itu mestilah melalui ibadah yang sahih dan sempurna. Hubungan antara kita dengan Allah cukup penting supaya Allah dapat membantu pergerakan kita dalam apa keadaan sekalipun. Manhaj tarbiyyah Pas menekankan supaya ahlinya memperbaiki ibadah yang baik dan sempurna.
1. Ibadah Lambang Pengabdian diri kepada Allah SWT
Seorang Muslim yang melakukan ibadah maka ia adalah lambang perhambaan diri kepada Allah SWT. Ia tidak melakukan satu ibadah kecuali kerana Allah Yang Esa. Ia mengetahui akan hakikat dirinya sebagai seorang hamba dan hubungannya dengan Allah. Oleh itu seorang manusia tidak menyembah kecuali kepada yang berhak disembah.
Apabila seorang hamba yang menunaikan satu amalan dengan niat kerana Allah maka mereka akan merasakan diri mereka sebagai seorang hamba bukan sebagai seorang majikan dengan tuannya. Serang Muslim tidak akan mengabdikan diri kepada Allah sekira dirinya merasakan mereka bukan hamba kepada Allah. Hubungan manusia dengan Allah bukan sebagai rakyat dengan kerajaan, bukan pekerja dengan majikan.
Justeru itu apa yang dilakukan manusia dan tindakan yang dilaksanakan kesemuanya adalah manifestasi perhambaan kepada Allah yang sebenar. Dan inilah matlamat Allah menjadikan kita di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri
kepada-Ku. (Al-Zariat:56)
2. Membentuk Peribadi Mukmin Yang Sejati
Peribadi yang unggul dapat dibentuk melalui ibadah kepada Allah. Seorang yang melakukan ibadah ia dikehendaki menyucikan zahir dan batin. Penyucian ini membolehkan jiwa seorang layak untuk menerima perubahan diri bagi membentuk peribadi Muslim yang sejati. Peribadi yang unggul adalah pancaran kalbu dalaman. Oleh itu dalam Islam seorang itu tidak boleh untuk berpura-pura baik, kerana lama kelamaan hakikatnya tetap diketahui.
Seorang yang melakukan ibadah yang sebenar akan merasakan dirinya sentiasa bermuraqabah dengan Allah SWT. Ibadah yang dihayati akan membentuk peribadi yang mengawasi diri sendiri dan menumbuhkan akhlak kesabaran dalam jiwa seseorang. Ini adalah perkara yang penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia merasakan konsep ihsan kerana perbuatannya sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah;
"Ihsan ialah kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah dan sekiranya kamu tidak melihat Allah tetapi Allah melihat kamu."
3. Ibadah Dapat Mencegah Melakukan Kemungkaran
Ibadah yang dilakukan oleh seorang hamba dapat mendidik manusia daripada melakukan perkara mungkar dan keji. Kerana ia sentiasa bermunajat kepada Allah dan berikrar dengan penuh khusuk dan tawaduk. Segala amalan yang dilakukan akan menimbulkan kesedaran yang tinggi kepada dirinya betapa besar kuasa Allah dan akan menambah ketakutan untuk melakukan sebarang perkara yang dilarang.
Sebagai contoh ibadah solat akan dapat melahirkan peribadi yang boleh mencegah kemungkaran. Justeru itu mereka yang melakukan solat tetapi masih melaksanakan kemungkaran sebenarnya mereka belum sempurna solat mereka dalam erti kata yang sebenar. Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar."
(Al-Ankabut 29:45)
4. Prihatin Kepada Penderitaan Orang Lain
Ibadah dalam Islam akan menjadi seorang Muslim merasai penderitaan dan kelaparan saudara mereka yang kurang bernasib baik. Ini mendorong mereka mengambil berat kepada orang yang susah. Sebagai contoh ibadah puasa yang menahan diri daripada makan dan minum daripada terbit matahari sehingga tergelincir matahari. Sepanjang hari ia menahan diri daripada berlapar tidak lain dan tidak bukan untuk mengambarkan perhambaan yang sebenar di sisi Allah SWT.
Sepanjang puasa yang ia lakukan dengan kelaparan yang dirasai barulah ia menginsafi beginilah nasib mereka yang tidak cukup bekalan untuk makan. Kesemua ini akan memberi motivasi kepada dirinya untuk melaksanakan tanggungjawab kepada orang lain yang menderita. Seorang Muslim yang mengabdikan diri kepada Allah akan mengambil tahu penderitaan orang lain. Sekiranya ia tidak mengambil berat berkenaan dengan penderitaan orang lain maka ia bukan dari kalangan Muslim yang sejati. Sebab itu setiap Muslim perlu prihatin kepada penderitaan orang lain seperti kelaparan di Afghanistan, Bosnia, Checnya, Kosovo, Plestin, Acheh dan sebagainya.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;
"Sesiapa yang tidak mengambil tahu mengenai urusan seorang Muslim ia bukan
dari kalangan aku."
5. Mengukuhkan Ikatan Sosial Dalam Masyarakat
Ajaran Islam ialah ajaran yang merangkumi hubungan antara Allah dengan manusia dan manusia dengan manusia. Seorang itu dianggap tidak betul dari segi agamanya kerana tidak memperdulikan ikatan sosial dalam masyarakat. Sebagai contoh ibadah zakat yang mesti dikeluarkan oleh mereka yang kaya kepada orang yang tidak bernasib baik. Firman Allah SWT yang bermaksud;"Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah sebahagian yang baik dari usahamu dari hasil yang kami keluarkan dari bumi" (Al-Imran:97)
Ibadah zakat akan membersihkan jiwa daripada penyakit bakhil, kerana menyedari bahawa harta ini milik Allah dipinjamkan buat sementara waktu sahaja kepada manusia. Dengan ini ia akan mengukuhkan ikatan sillaturrahim antara yang kaya dengan yang miskin. Apabila ini berlaku ia dapat mengurangkan perasaan hasad dengki di kalangan orang yang susah kerana kemelaratan mereka tidak dilupai oleh orang kaya. Kebiasaannya orang miskin jiwa mereka kecil dan perasaan mereka sering terguris. Tetapi dengan adanya ibadah zakat perkara ini dapat mengubat hati mereka untuk hidup seperti orang lain juga. Sebab itulah institusi zakat akan dapat membangunkan kehidupan sosial dengan lebih baik maka ia akan memberi manfaat kepada semua lapisan masayarakat.
6. Membentuk Peribadi Yang Bersatupadu
Islam ialah agama perpaduan, bukan perpecahan. Semua Rasul yang diuruskan oleh Allah SWT mengajar manusia supaya bersatu padu di bawah panji Islam dan kalimah tauhid, bukan atas ikatan bangsa dan warna kulit. Justeru itu banyak ibadah dalam Islam menjuruskan penganutnya supaya berpadu di dalam masyarakat. Contohnya ibadah solat jamaah dan ibadah haji kesemuanya menuntut supaya mereka mengeratkan hubungan kemesraan dari kalangan mereka.
Mereka dikehendaki berhimpun dalam satu tempat tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk memperlihatkan tanda penyatuan mereka ditengah-tengah masyarakat. Ibadah solat berjamaah yang didirikan di tengah-tengah masyarakat di tempat yang tertentu seperti surau atau masjid. Kerana itulah Rasulullah SAW telah membina tapak awal ketika baginda berhijrah ke Madinah ialah masjid. Inilah asas yang utama yang perlu diwujudkan di tengah-tengah masyarakat Muslim. Peribadi yang melakukan ibadah kepada Allah dengan sebenar-benar akan merasakan dirinya mesti bersifat ingin bersatu bukan hendak berpecah. Mereka akan bersatu diatas roh akidah bukan diatas prinsip puak atau bangsa.
Firman Allah SWT yang bermaksud; "Hendaklah kamu berpegang dengan tali Allah sekaliannya, dan janganlah kamu berpecah dan ingatlah ketika kamu berada di dalam keadaan bermusuh-musuhan maka kami telah menjinakkan hati kamu sehingga kamu menjadi bersaudara" (Al-Imran:103)
Kesimpulan
Kita tidak boleh meraih sokongan dan kemenangan disisi Allah seandainya tidak membetulkan konsep ibadah dengan Allah SWT. Ibadah dalam Islam mestilah merangkumi semua aspek kehidupan yang mempunyai perkaitan antara dunia dan akhirat. Bukan hanya sekadar di dalam masjid atau di dalam surau semata-mata tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan yang berpaksikan untuk Allah maka itu tergolong dalam ibadah dalam Islam.
Kita mesti mengharapkan Allah kerana kita lemah dari sudut material. Sekiranya kita sama dnegan mereka dengan mengenepikan aspek ibadah maka kemenangan agak sukar untuk diperolehi. Program pembinaan diri di kalangan anggota gerakan Islam melalui penghayatan ibadah akan mengukukhkan peribadi dan memberi motivasi untuk melaksanakan amanah dalam jamaah. Kepincangan kerja dan kemalasan untuk melaksanakan amanah yang dipikul berkait rapat dengan ibadah yang dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment