Thursday, June 5, 2008

doa tuan guru nik aziz



“Wahai Tuhan Kami, berilah kami perasaan takut kepadamu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan dan berilah kami ketaatan kepadamua yang menyampaikan kami ke syurgamu, dan berilah dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia.”

“Wahai tuhan kami berilah kami kenikmatan pendengaran, penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. Dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami.Dan janganlah engkau jadikan bencana bagi kami dalam ugama kami dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya dami dan tidak sampai batasan ilmu kami. Dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak menaruh kasihan balas terhadap kami, dapat menguasai ke atas kami.”

“Wahai Tuhan kami, kami pohon perlindungna dengan nur kesucian engkau dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalal engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik.” “Wahai tuhan kami, engkaulah penolong kami, maka kepada engkau kami mohon pertolongna. Wahai tuhan kami, engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada engkaulah kami pohon selamat. Wahai tuhan bagilah kelemahan dan kehinaan yang mana segala tengkuk pembesar dunia.”

“Dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja Firaun, selamatkan kami dari penghinaan dan hukuman siksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. Tiada tuhan bagi kami melainkan engkau demi kebesaran wajah engkau dan kemuliaan kesucian engkau, hindarkanlah kami dari segala kejahatan hamba-hamba engkau, berilah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari engkau wahai tuhan yang maha pemurah.”

“Wahai Tuhan sama ada engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud, dan kamu menundukkan mereka seperti seperti kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun kamu lipat balik rancnagan jahat mereka supaya berpatah balik ke atas mereka sendiri , dan kamu hancur leburkan pakatan mereka dan kacau bilaukan kumpulan mereka dan goncangkan pendirian mereka dan Ya Allah turunkan bendera mereka rapat ke bumi, Wahai Tuhan yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya, Wahai Tuhan yang mempunyai keagungna dan kemuliaan, sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu.”

“Ya Allah Tuhan kami, limpahkanlah rahmat ke atas junjungna kami Nabi Muhammad S.A.W yang dengannya dapat emngubati hati dan menjadikan penawar, menyihatkan badan yang menyembuhkannya, menjadi cahaya bagi pandangan mata dan menyinarkannnya dan limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada keluarga dan para sahabat baginda sekalian.”

Wednesday, June 4, 2008


Dakwah Fardiyah

MUQADIMAH

Menyeru manusia kepada Allah swt (Ad dakwah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman kita ini, ia menjadi satu kewajipan yang utama kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah swt yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam.

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’rif (memperkenalkan), disusuli pula dengan marhalah takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah ammah (dakwah umum) yang dicernakan melalui pidato, ceramah-ceramah, majlis-majlis ilmu, media seperti buku-buku, risalah-risalah, suratkhabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah fardiyah (individu) yang juga merupakan intipati dakwah yang terpenting. Apapun dakwah fardiyah memerlukan kepada kekuatan, sokongan, semangat, iltizam dan istiqomah untuk menjayakannya.

MARHALAH DAKWAH

Melalui penelitian dan kajian terhadap masyarakat hari ini, didapati bahawa kelemahan iman dan keampuhan jiwa, tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan kaum muslimin berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang menyebabkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslimin sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam.

Kebanyakan muslimin pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah swt dan mentaati perintahNya. Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur. Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidurk, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling., tetapi ntidak mampu memadamkan api yang sedang membakar.

Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tiidur supaya mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan. Nah, inilah yang dinamakan dakwah dan usaha kearah menyedarkan manusia dari keteleduran dinamakan usaha dakwah yang mulia.

Di dalam pengertian ini Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna berkata:

“Jadilah kamu ketika (menyeru) manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu dan dia mengugurkan buah kepada mereka”.

1. MARHALAH PERTAMA:

Iaitulah marhalah yang awal yang mewujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (ta’aruf). Di marhalah ini, anda hendaklah benar-benar merasakan kepada dirinya bahawa anda mengambil berat tentang dirinya dan bertanya khabar apabila dia tidak ada dan lain-lain. Ketika itu anda tidak membincangkan apa-apa tajuk mengenai dakwah sehingga hatinya terbuka dan bersedia memahami apa yang anda perkatakan mengenai dakwah dan mengambil pengajaran daripadanya.

Penerimaannya terhadap dakwah yang anda kemukakan adalah berkadar dengan kejayaan anda memberikan perhatian dan memenangi hatinya di marhalah ini. Sebarang percubaan untuk berbincang mengenai apa-apa tajuk dakwah sebelum melalui marhalah ini mungkin menjadi faktor penolakannya. Marhalah ini mungkin memakan masa beberapa minggu.

2. MARHALAH KEDUA:

Marhalah kedua ialah marhalah membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini, perbincangan mengenai persoalan keimanan tidak perlu dilakukan secara langsung. Adalah lebih baik jika perbincangan mengenainya mengambil pendekatan secara tidak langsung seolah-olah tanpa disengajakan, dengan cara mengambil kesempatan daripada melihat burung, tumbuhan, serangga atau mana-mana makhluk Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan Allah, kehalusan dan keagungan ciptaanNya dilakukan. Sebagai contohnya, dijelaskan kepada mad’u bagaimana tumbuhan tersebut tumbuh daripada bahagian-bahagian yang berlainan seperti dahan, daun, bunga, buah, warna, bau dan rasa sedangkan ia disiram dengan air yang sama dan ditanam di tanah yang sama.

Firman Allah swt:

“Begitulah perbuatan Allah swt yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu” (An Naml : 8 8)

Dalam kaedah berdakwah dengan mad’u pada peringkat ini, cuba kaitkan penciptaan Allah dengan teknologi sains yang dicipta oleh ahli sains dan cerdik pandai hari ini. Mampukah manusia mencipta seekor lalat atau seekor nyamuk yang mempunyai nyawa dan habitat tersendiri? Atau adakah manusia mampu mencipta sebiji gandum yang mana apabila gandum ini disiram dan ditanam mampu menumbuhkan batang gandum? Inilah perbandingan yang nyata supaya mad’u berfikir. Allah berfirman di dalam Qur’an:

“Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langitn dan bumi seraya berkata: “Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka” Ali Imran 191)

Boleh juga dalam kaedah yang lain, naqib atau pendakwah menjelaskan kepada mad’u persoalan kemuliaan yang Allah berikan kepada anak cucu Nabi Adam (manusia); kemuliaan hasil daripada pemberian roh kepada mereka. Kebanyakan manusia alpa dan lupa terhadap kehidupan di aspek ini, dan mereka hanya hidup di aspek penciptaan mereka daripada tanah dan memenuhi tuntutan badan.

Mereka lupa dan alpa bahawa aqidah yang benar dan sejahtera adalah tuntutan asasi kepada roh; padanya terdapat kebahagiaan hidup didunia dan akhirat. Persoalan seterusnya dikaitkan dengan persoalan keimanan. Ketika persoalan ini dijiwanya, dia akan mula menilai semula kehidupannya sebelum ini (mujaraah) dia akan merasakan bahawa sekiranya dia terus berada di tahap lama; alpa, mencuaikan kewajipan, melakukan maksiat dan tidak mentaati Allah, dirinya akan terdedah kepada azab Allah di hari Akhirat; hari yang tiada tempat lari dan penyelamat. Ketika itu, dia akan mudah dipimpin dan diberi tunjuk ajar supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam.

3. MARHALAH KETIGA

Di marhalah ini, kita hendaklah membantunya memperbaiki dirinya dengan cara mengajarnya perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan ibadat-ibadat fardhu, membiasakan dirinya melakukannya secara berdisiplin, menjauhi maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islam.

Kaedah dakwah dengan marhalah ini ialah hadiahkanlah mereka dengan buku-buku yang membincangkan persoalan aqidah, ibadah dan akhlak yang boleh dibaca dan difahaminya. Kemudian ajaklah mereka menghadiri majlis-majlis ilmu dan ceramah-ceramah, mengajaknya berkenalan dengan oran-orang salih dan menjauhkannya daripada oranmg-orang jahat.

Begitulah seterusnya, biah solehah (suasana yang soleh) terus dibina untuk membantu menyempurnakan keperibadian Islamnya. Kita mestilah bersabar dan ikuti perkembangan dirinya sehingga dia benar-benar teguh berada di atas jalan Islam. Ikutilah perkembangan mad’u sentiasa supaya dia sentiasa dipastikan dapat menerima perubahan. Usaha ini akan memakan masa beberapa minggu atau beberapa bulan sehingga keperibadian Islamnya benar-benar mentap tanpa mudah digoyang.

4. MARHALAH KEEMPAT

Marhalah keempat ialah menjelaskan pengertian ibadah yang syumul tanpa membataskannya kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan; makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, bersenam (riadhah), memelihara anak-anak dan lain-lain. Itu semua adalah ibadah kepada Allah swt apabila mencukupi dua syarat: niat kerana Allah swt dan mengikuti syariat Islam semua pekerjaan yang dilakukannya.

a. Niat
Semua yang dilakukan hendaklah hanya kerana Allah semata-mata dan tidak kepada yang lain. Tujuannya adalah untuk menjadikan kita hamba kepada Allah dan merealisasaikan tujuan Allah menjadikan kita sebagai khalifah di atas muka bumi.

Oleh itu kita makan dan minum adalah supaya kita bertenaga untuk mentaati Allah dan beribadat kepadanya.Dengan itu makan dan minum kita menjadi ibadat yang akan diberi ganjaran pahala. Kita menujntut ilmu kerana untuk menjaga kepentingan kaum muslimin maka sewajarnya menuntut ilmu itu adalah ibadat yang tidak diragukan selama mana tidak bercanggah dengan tuntutan syariat. Berkahwinnya kita kerana mahu menjaga diri dari terjebak dengan maksiat dan membina rumah tangga muslim maka rumahtangga ini pasti menjadi suatu ibadat kepada diri kita.

b. menjaga syariat (mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Islam). Oleh kerana itu kita tidak makan melainkan yang halal sahaja. Kita tidak berpakaian melainkan yang halal dan begitulah segala aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan. Contoh yang lain, keluar menuntut ilmu bagi seorang perempuan menjadi ibadat selagi mana ia mengikut syariat seperti berpakaian menutup aurat, tidak bercampur gaul dengan lelaki bukan mahram, berteman dan tidak menimbulkan fitnah. Begitu juga dengan kaum lelaki, bersukan dan beriadhah menjadi ibadah dengan niat yang betul dan betul cara perlaksanaannya seperti menutrup aurat dan menjaga waktu solat. Banyak contoh lain yang boleh dijadikan pekerjaan umum menjadi ibadat dan sebaliknya pula pekerjaan yang betul boleh menjadi maksiat sekiranya tidak mengikuti tuntutan Islam yang betul.

5. MARHALAH KELIMA

Dalam marhalah ini, tingkatan yang diperlukan adalah menjelaskan kepada mad’u bahawasanya tidaklah cukup hanya menjadi Islam pada diri sendiri sahaja, dengan hanya melaksanakan ibadat-ibadat yang tertentu sahaja. Sebaqliknya Islam juga adalah agama yang bermasyarakat. Islam adalah sistem hidup, pemerintahan, perundangan, daulah, jihad, dan ummah. Inilah fahaman yang betul terhadap Islam. Fahaman yang mengajar kita berbagai tanggungjawab dan kewajipan. Kita wajib melaksanakannya sebagai menyahut perintah Allah supaya masyarakat dapat dibina di atas prinsip-prinsip Islam di semua aspek kehidupan; politik, ekonomi, perundangan, kemasyarakatan dan lain-lain.

Kita juga mesti difahami bahawa di antara kewajipan kita terhadap Islam ialah berusaha dan berjuang bersunguh-sungguh supaya Islam berkuasa di muka bumi. Firman Allah Taala:

“… Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah semata-mata” (Al Baqarah : 193)

Oleh itu, kita wajib menyampaikan seruan agama ini kepada manusia seluruhnya. Seseorang muslim tidak mungkin hidup sebagai muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna sekiranya dia mengasingkan diri daripada saudara-saudara muslim yang lain dan tidak mempedulikan ap-a yang berlaku dan dihadapi oleh mereka (saudara-saudara muslim) di berbagai ceruk rantau di muka bumi; tekanan, gangguan, fitnah dan serangan dari musuh-musuh Allah dan musuh-musuh Islam. Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin maka dia bukanlah dari mereka”

Disekitar pengertian ini perbincangan dilakukan sehingga melahirkan perasaan tanggungjawab umum (mas’uliyah ammah) terhadap Islam dan muslimin di dalam dirinya dan dia tidak lagi mengasingkan diri. Selepas itu dijelaskan kepadanya tuntutan marhalah dakwah Islam pada hari ini yang mewajibkan umat Islam berusaha menegakkan daulah Islam dan mengambalikan khalifah Islam yang telah diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam.

Kita terangkan kepada mad’u betapa besarnya musibah yang dihadapi oleh dunia Islam; negara dipecah-pecahkan, umat Islam bertelagah sesama sendiri, musuh-musuh menyerang, aqidah orang-orang Islam tergugat dan digugat, masjid-masjid dirosakkan, berlakunya pencerobohan terhadap negara Islam, harta kekayaan bumi dirompak dan dirampas, dan anak-anak muslimin diracun dengan pemikiran yang liar dan akhlak yang melampaui batasan. Kesemua ini akibat dari tiadanya Daulah Islamiah. Daulah Islamiah inilah sebenarnya yang menjadi payung dan penangkis kepada serangan-serangan musuh dari pelbagai arah.

Mad’u juga perlu dijelaskan bahawa tanggungjawab menegakkan daulah Islamiah bukan hanya terletak pada bahu ulama’ dan pemimpin sahaja, bahkan ia adalah tanggungjawab setiap muslim dan muslimat yang hidup di marhalah dakwah ini. Mad’u juga perlu disedarkan tentang bahayanya umat Islam sekarang tanpa panduan dan pimpinan serta berdosanya umat Islam tanpamenegakkan Daulah Islamiah.

Kesimpulannya marhalah ini adalah permulaan kepada menanamkan benih fikrah perjuangan Isla; iaitulah usaha untuk menegakkan Daulah Islamiah yang akan mendorongnya (mad’u) memanjat tangga marhalah dakwah yang setrusnya yang seterusnya menuntut pengorbanan dan perjuangan.

6. MARHALAH KEENAM

Di marhalah ini penjelasan perlu diberikan kepada mad’u bahwasanya tidakmungkin kewajipan menegakkan daulah Islamiah ini secara fardi (sendiri); setiap muslim tidak akan mungkin dapat mengambalikan Daulah Islamiah dengan secara bersendirian. Ia perlu dijana dan dilakukan secara berkumpulan (berjemaah) / organisasi. Usaha menegakkan Islam secara berjemaah menjadi wajib kerana dengan adanya berjemaah dapatlah usaha dibangunkan untuk menegakkan Daulah Islamiah. Maka berjemaah itu hukumnya adalah wajib.

Kaedah fikah menyebut:-

“Apabila sesuatu kewajipan tidak dapat disempurnakan kecuali dengannya, maka ia menjadi wajib”

Tidak dapat dibayangkan, bagaimana sempurna Islam seseorang itu sedangkan dia hidup seorang diri tanpa melibatkan diri dengan jamaah yang bertujuan melaksanakan prinsip-prinsip Islam dan kewajipannya; prinsip dan kewajipannya yang terpenting pada masa kini ialah usaha yang berteusan dan bersungguh-sungguh untuk menegakkan Daulah Islamiah.

Ini adalah perkara pokok (asasi). Kebanyakan muslimin tidak merasakan keperluan yang darudi dalam mewujudkan jemaah, ataupun menggabungkan diri ke dalamnya. Mereka bersikap demikian kerana tidak mahu memikul tanggungjawab, ataupun lebih mengutamakan keselesaan hidup dan menjauhkan diri daripada perkara yang tidak disukai dan mungkin terpaksa dihadapi apabila dia menggabungkan diri ke dalam jemaah. Berdasarkan penjelasan betapa besarnya tanggungjawab terhadap Islam yang terpaksa dipikul dan perlaksanaan tanggungjawab ini tidak dapat disempurnakan kecuali melalui jemaah, maka mad’u akan meyakini darurinya berjemaah sekalipun terpaksa membayar denga harga yang mahal.

Dalam marhalah ini jugalah menanamkan perasaan iltizam dan istiqomah untuk terus berjuang di dalam Jemaah Islam yang mahu menegakkan Dualah Islamiah. Akhirnya mad’u akan merasa cinta dan senang dengan hidup berjemaah dan merasa bimbang takut-takut akan tergelincir dari perjuangan Islam.

7. MARHALAH KETUJUH

Di marhalah ini, akan menjawab dan meraup segala persoalan yang bermain di minda mad’u: Jemaah manakah yang perlu diikuti? Marhalah ini adalah yang terpenting tetapi ia agak sensitif. Ia memerlukan kebijaksanaan, penerangan yang jitu dan memuaskan. Ini kerana, di medan terdapat pelbagai bilang jamaah yang bergerak dan semuanya mengajak para pemuda menganggotainya. Semuanya membawa bendera Islam, mempunyai lambang-lambang dan cara-cara tersendiri untuk menarik para pemuda.

Perkara yang mesti difahami oleh setiap pemuda muslim ialah persoalan amal Islami adalah persoalan asasi dan penentu masa depan.dia mestilah teliti dalam memilih jalan perjuangan mana yang patut dilalui dan diyakini selamat. Dia tidak sepatutnya terikut-ikut atau tergesa-gesa dalam memilih jemaah yang perlu dianggotainya untuk merealisasikan prinsip-prinsip Islam. Ini kerana, dia hanya memiliki satu umur dan satu nyawa. Oleh itu, janganlah dipersiakan begitu sahaja. Sebaliknya, dia hendaklah mengkaji, berbincang, dan memperuntukkan masa dan tenaga yang mencukupi untuk mencari kepastian. Sesungguhnya ketenangan jiwa (melakukan sesuatu dengan yakin akan kebenarannya) adalah lebih baik daripada memilih jalan perjuangan yang salah dan bertindak tanpa kepastian.

Perlu diketahui oleh mad’u bahawa dalam usaha merealisasikan Daulah Islamiah, perkara pokok yang diterapkan oleh Rasulullah saw adalah pemantapan aqidah berdasarkan tuntutan al-Qur’an. Melalui madrasah inilah yang melahirkan Rijalul aqidah (pendokong-pendokong aqidah); aqidah yang mengawal diri mereka, menguasai jiwa dan perasaan mereka. Atas nama aqidah- mereka sanggup mengorbankan masa, tenaga, harta dan nyawa, kesihatan, dan pemikiran mereka. Mereka juga sanggup bertahan dan berkorban, diseksa dan dicerca, dipeangi dan dibunuh. Oleh sebab aqidah mereka yang begitu mantap dan kukuh, segala ujian dapat dihadapi dengan baik dan sabar. Maka usaha seterusnya dilakukan oleh Nabi saw adalah memepertautkan persaudaraan antara sesama mereka. Nabi saw mengambil sumpah dan baiah dalam perjuangan untuk mempertahankan Islam. Ketika itulah Allah mengurniakan kemenangan yang gemilang kerana syarat itu telah dipenuhi.

Dengan ini, Rasulullah saw telah berjaya mewujudkan kekuatan aqidah, kemudian kekuatan kesatuan, dan akhirnya kekuatan tangan dan persenjataan. Ini kerana, apabila terbentuknya kumpulan mukmin yang mantap dan bersatu, maka musuh-musuh Islam mampu dihadapi dengan jayanya.

Namun sebelum terbentuknya kumpulan mukmin yang mantap dan bersatu iaitu ketika bilangan kaum muslimin yang sedikit, Rasulullah saw berpesan supaya mereka bersabar menempuh dugaan dan tetap bersama kebenaran yang mereka imani, serta berterusan menyampaikan dakwah Islam kepada orang lain. Baginda tidak meminta mereka menghadapi kebatilan dengan menggunakan kekuatan.

Oleh itu jamaah yang melalui jalan yang sama (dilalui oleh Rasulullah saw) semestinya menjadi pilihan untuk dianggotai dan didukungi. Mana-mana jemaah yang tidak memberikan perhatian kepada persoalan tarbiah dan persediaan, mengatasi keutamaan kepada persoalan kesatuan dan hubungan, dan juga mengatasi keutamaan kepada persoalan penggunaan kekuatan, maka ia adalah jemaah yang memperjudikan nasib dan masa depannya, dan membahayakan amal Islami. Oleh itu, usaha untuk memegang tampuk kekusaaan menggunakan kekuatan dengan mengabaikan tarbiyah dan kesatuan, ataupun parti-parti politik yang mengabaikan tarbiyah adalah uaha yang merbahaya. Malah mamapu melumpuhkan amal Islami sebelum ia lahir dan berkembang subur secara tab’ie untuk membentuk kumpulan yang mantap (Qaedah Sulbah). Sesungguhnya pembinaan dimulakan dari asas (tapak), bukannya dari puncak (atas).

Mad’u juga mesti dijelaskan bahawa Jemaah yang hendak dianggotai dan didukungi mestilah jemaah yang mengambil Islam secara syumul dan menyeluruh; aqidah, ibadat, akhlak, perundangan, pemerintahan, jihad dan seluruh aspek kehidupan. Ia tidak boleh mementingkan beberapa aspek dan meninggal aspek yang lain dengan alasan keselamatan atau apa-apa sebab yang lain.

Mad’u juga mesti dijelaskan bahawa Jemaah yang perlu dianggotai itu mestilah yang memiliki kemampuan di peringkat antarabangsa. Ini kerana mereka mempunyai faktor-faktor pembinaan kumpulan yang mantap (qaedah Sulbah) untuk Daulah Islamiah Alamiah (Negara islam Sejagat), bukan hanya sekadar pemerintahan setempat di mana-mana negara.

Jemaah yang berpengalaman dan terbukti mampu menghadapi tribulasi adalah jemaah yang paling layak untuk diyakini kemampuannya mencapai matlamat, mendatangkan hasil dengan segera dan pandai menggunakan masa dan tenaga sebaik mungkin. Kefahaman dan tindak tanduknya pula jauh daripada kecuaian dan keterlaluan, jauh daripada penyelewengan dan menjuzuk-juzukkan (ambil daripada bahagian dan tinggalkan beberapa bahagian), selari dengan petunjuk Rasulullah saw dan salafussalih.

Jemaah tersebut juga mestilah jemaah yang tersusun rapi dan bersatupadu serta berjalan mengikut perancangan yang rapi. Ia bukanlah Jemaah yang kucar kacir (perjalanannya tidak menguikut peraturan) atau bergerak secara bidan terjun tanpa perancangan dan penyusunan.

Mad’u juga mestilah dijelaskan bahawa perpecahan dan pengagihan tenaga kepada kumpulan-kumpulan kecil adalah satu kesalahan dan merbahaya. Pada dasarnya, sesiapa yang ingin menyumbang untuk Islam hendaklah bergabung dengan Jemaah yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas. Dia tidak boleh mengangkat bendera baru ataupun membantu Jemaah baru yang setahun jagung pengalamannya. Ini dilakukan supaya dia tidak membantu usaha-usaha memecah-memecahkan tenaga dan usaha. Dia juga tidak boleh memisahkan diri daripada Jemaah Besar yang berpengalaman kecuali apabila dia mendapati jemaah tersebut pada keseluruhannya terdapat kefasikan atau kesesatan.

Secara ringkas, mad’u perlu dijelaskan tentang beberapa ciri jemaah yang perlu diikuti:-

  • Jemaah yang mengutamakan persoalan aqidah (tarbiyah) dan juga kesatuan Ukhwah melebihi persoalan tenaga dan kekuatan.

  • Jemaah yang mengutamakan persoalan Islam secara syumul mesrangkumi aqidah, ibadah, akhlak, perundangan, pemerintahan, jihad, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain

  • Jemaah yang terbukti memiliki kemampuan di peringkat antarabangsa melalui pengalaman-pengalamannya yang tersendiri

  • Jemaah yang telah mempunyai pengalaman-pengalaman lampau dalam aspek mehnah dan tribulasi.

  • Jemaah Besar yang ramai keanggotaannya – lebih besar lebih kekuatan serta lebih lama penubuhannya asalkan mengikut syarat 1 dan 2 di atas.

  • Jemaah yang tersusun rapi dan bersatupadu serta berjalan mengikut perancangan yang rapi dan bukan jemaah yang kucar kacir (tidak mengikut peraturan)

  • Jemaah yang tidak menggalakkan perpecahan dan pengagihan tenaga kepada kumpulan yang lebih kecil kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan berbilang-bilang jemaah.

Tips untuk keberkesanan Dakwah Fardiyah

1. Hendaklah bersungguh-sungguh, memberikan perhatian, mengikuti perkembangan dan membuat penilaian setelah dakwah Fardiyah dilakukan dalam tempoh tertentu.

2. Pelaksana hendaklah mengetahui uslub, kaedah dan pengertian tentang kesemua kaedah atau marhalah ini.

3. Hendaklah dilaksanakan marhalah-marhalah ini dengan secara tertib dan tidak melanggar adab dan batasan.

4. perbincangan dengan pelaksanaan dakwah fardiyah mengenai ketujuh-tujuh marhalah dan perkara yang berkaitan dengannya seperti dalil atau faktor-faktor yang membantu mad’u menerimanya amat baik dilakukan. Ini adalah untuk memudahkan tugas daie ketika berhadapan dengan mad’u.

5. selain daripada menjelaskan kesucian jalan dakwah dan semua tuntutan, usaha perlu dilakukan untuk menghilangkan keraguan dan kesamaran terhadap amal Islami., tuntutan-tunttutannya dan aktivis-aktivisnya juga mesti dilakukan.

6. Berikan contoh kejayaan dan kebaikan bagi mereka yang menyahut seruan dakwah ini dan bahaya serta dosa bagi mereka yang menolaknya.

7. Para daie mestilah sentiasa tolong menolong dan nasihat menasihati sesama mereka dalam menghadapi cabaran dan rintangan.

8. Hadiahkan mad’u dengan buku-buku dan risalah-risalah yang dapat menggalakkan mereka dengan Islam.

9. keberkatan, taufiq dan penghasilan adalah berkadar dengan keikhlasan, kesungguhan, berlapang dada dan kesabaran.

10. dakwah fardiyah dapat mewujudkan hubungan dan ikatan dengan mad’u. Ini berbeza dengan dakwah am seperti majlis ceramah dan majlis ilmu.

11. dakwah fardiyah adalah dakwah yang praktikal; berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian.

12. Dakwah fardiyah mendorong para daie menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia.

RUJUKAN
1. Dakwah Fardiah. Mustafa Masyhur. Pustaka Salam: Kuala Lumpur, 2001
2. Silibus Usrah umum Peringkat 1. Khairul Rijal bin Arshad. 2001
3. Manhaj Daurah Tadribiyah. Dewan Ulamak PAS Pusat. 2003






Dakwah Dan Tuntutannya

PENGERTIAN DAKWAH

Dakwah secara lughah yang berasal dari Bahasa Arab, yang bermaksud seruan, panggilan, undangan. Secara istilah, kata dakwah beerti menyeru atau mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah swt dan Rasulnya saw.

Syeikh Ali Mahfuz – murid Syeikh Muhammad Abduh memberi batasan dakwah sebagai:-

“membangkitkan kesedaran manusia di atas kebaikan dan bimbingan, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar, supaya mereka beroleh keberuntungan kebahagiaan di dunia dan akhirat”

Dakwah adalah merupakan sunnah para Nabi a.s. .Mereka menyeru manusia kepada subul-as-Salam (jalan kebahagiaan), menunjukkan manusia kepada jalan yang lurus (sirat-al-Mustaqim), sehingga manusia menerima seruan Allah dan Rasul-Nya. Dakwah Islamiyah berawal dari hati yang sedar bahwa inilah jalan kita, yaitu untuk menyeru manusia kepada Allah sehingga mereka mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW.

Yang menjadi pemisah antara dakwah Islamiyah dengan jalan lain adalah petunjuk Allah yang disampaikan melalui wahyu dan jalan (contoh) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Musuh kita yang sebenarnya adalah syaitan dan konco-konconya yang menjelma melalui al-hawa’ (hawa nafsu) yang ada di dalam diri kita serta yang lebih nyata lagi adalah dalam bentuk jahiliyah yang zahir. Jahiliyah yang sekecil-kecilnya dari dosa-dosa yang berupa keingkaran hingga kepada al-kabair (dosa-dosa besar), bid’ah-bid’ah yang menyesatkan, nifaq (kemunafikan), serta kekufuran kepada Allah. Jahiliyah inilah yang seterusnya lahir dan menjelma di dalam bentuk keingkaran kepada Allah baik di dalam bentuk undang-undang, negara, masyarakat, dan segala bentuk sistem yang bukan berasaskan Islam.

Dakwah bukanlah semata-mata penentangan terhadap satu golongan, atau parti, ataupun individu,dan sebagainya. Namun merupakan pertarungan yang telah lama ada, yaitu semenjak penciptaan Adam a.s. dan keengganan Iblis untuk mematuhi perintah Allah agar sujud kepada Adam. Pertarungan di dalam dakwah adalah pertarungan antara yang haq dengan yang batil. Inilah pertarungan para Anbiya a.s. semenjak nabi Adam hingga Rasulullah saw. Inilah dia hakikat dakwah yang perlu kita dukung.

HUKUM BERDAKWAH
Hukum berdakwah adalah wajib dan kewajipan ini tertaklif pada setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah swt yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam.

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah.

Firman Allah swt:-

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah swt, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri” (Al Fushilat : 33)

Menyerukan manusia kepada Allah swt menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah saw:

“Jika Allah swt memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari” (H.R. At Tabrani)

Begitu juga sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Orang yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berkeliling di muka bumi dengan menasihati orang lain” (H.R. At Thahawi)

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’rif (memperkenalkan) yang mendahului marhalah takwin (pembentukan) dan marhalah tanfiz (pelaksanaan).

TUJUAN DAKWAH
1. Mengubah pandangan hidup. Di dalam surah Al Anfal ada menyebutkan tentang tujuan dakwah adalah menyedarkan manusia tentang kehidupan yang sebenarnya. Hidup bukanlah makan, minum dan tidur sahaja.
2. Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya. Ini diterangkan oleh Allah swt dalam Surah Ibrahim dalam ayat ke-1.
3. Mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar. Banyak ayat-ayat Qur’an yang boleh digali menerangkan tentang program amar ma’ruf dan nahi mungkar ini.

MAUDHU’ DAKWAH
Secara umumnya, amudhu’ dakwah ialah ajaran Islam kerana ia merupakan risalah yang dibawa oleh para rasul dan satu-satunya agama yang diredhai Allah. Di antara kandungan dakwah yang perlu diketengahkan kepada masyarakat umum adalah:-

Asas-asas ajaran Islam yang mencakupi persoalan Iman, Islam dan Ihsan.
a) Persoalan iman (aqidah) hendaklah diperjelaskan dalam lingkungan al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih dengan mudah dan jauh daripada penghuraian ahli kalam yang memeningkan kepala. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun iman.

b) Persoalan Islam (fiqh) pula hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada perselisihan mazhab dengan menjelaskan dalil dan hikmah pensyariatan serta mengaitkannya dengan kehidupan. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Islam.

c) Persoalan Ihsan (akhlak) juga hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada pelampauan ahli tasawwuf dan penguraian yang tidak memberi manfaat oleh ahli falsafah. Di antara jenis-jenis ihsan yang perlu dihuraikan ialah:

  • Ihsan dengan pengertian muraqabatullah

  • Ihsan dengan pengertian berbakti kepada Allah

  • Ihsan kepada umat Islam dengan cara memperkukuhkan hubungan al-ukhuwwah fillah

  • Ihsan kepada semua makhluk dengan maksud bermuamalah dengan baik bersama mereka.

  • Ihsan dengan pengertian melakukan sesuatu tugasan dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh.

USLUB DAKWAH

Di dalam Al-Quran, ayat yang menyebut perkataan uslub sebenarnya tidak ada. Apa yang ada ialah permahaman yang boleh diambil sewaktu Allah s.w.t. berfirman memerintah manusia menyeru ke jalanNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl: 125)

Apabila persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua.

Perkara paling utama ialah menyeru manusia terlebih dahulu ke jalan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka. Kesedaran ini perlu diutamakan terlebih dahulu, barulah berbincang mengenai uslub dakwah.

Perkataaan uslub secara jelas tidak disebut dalam Al-Quran, namun begitu perkataan yang hampir sama dengan pengertian uslub telah disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Ma’idah: 35)

Ayat di atas menggesa orang mukmin supaya bertaqwa dan mencari jalan serta cara yang menyampaikan mereka kepada taqwa. Oleh kerana jalan menuju Allah tidak boleh dinamakan uslub, maka kalimah yang dipakai ialah al-wasilah. Dengan ini al-wasilah lebih luas pengertiannya dari uslub sebagaimana ia juga lebih umum dari pengertian uslub.

Kefahaman Ayat 125 surat Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah

Ayat yang disebut sebentar tadi membuat beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Penyeruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara- caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada mereka. Inilah yang dikatakan kemahiran dan inilah uslubnya. Uslub dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

a)Hikmah
b)Nasihat-nasihat yang baik
c)Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik

USLUB HIKMAH

Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

  • Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah hendaklah bersifat menurut sifat-sifat Nabi seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas.

  • Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar.

  • Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.

USLUB NASIHAT YANG BAIK

Nasihat yang baik ialah persanan dan ingatan dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya.

Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik.

Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul).” (Ali-‘Imran:
137)

USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK

Para da’i hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat.

Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan itu dan merasa bahawa pendakwah itu menyerang aqidah yang mereka mempertahankannya. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Al-Ankabut: 46)

Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 43-44)

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

Kalau tidak adalah lebih baik jika dia tidak memberikan kesanggupan dari awal semasa proses temujanji dilakukan.
Kalau ia mempunyai fakta yang lengkap dan cukup jitu, maka ia tidak akan mudah panas baran dan melenting apabila dicemuh atau diserang kerana dia tahu peluru yang ada padanya mencukupi serta mampu menjawab semua hujah musuh atau orang-orang yang diseru kepada Islam.

Pendakwah kadang-kadang mudah naik angin dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Dia akan bimbang sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah.

Boleh jadi ada orang bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah masanya akan berlaku keras. Kita menjawab keras boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup membalas setara dengan apa yang mereka lakukan.

Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam. Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad.

Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.

RUJUKAN
1. Prinsip Dakwah dalam Al Qur’an – Hanung Hizbullah Hamda – Jamaah Masjid Al Azhar, Universitas Islam Indonesia, 2003.
2. 12 Kefahaman Terhadap Dakwah Islam - Dari Madrasah Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al Banna, 1970
3. Dakwah Fardiyyah. Mustafa Masyhur m/s 9
4. Seribu Seratus Hadis. Susunan Muhammad Faiz Di bawah Tajuk Perintah Beramar Ma’ruf Nahi Mungkar m/s 146
5. Manhaj Daurah Tadribiyah. Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat. m/s 29.
6. Manhaj Daurah Tadribiyah. Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat. m/s 77.