Thursday, August 7, 2008

Kepentingan ibadah kepada petugas gerakan Islam




PERJUANGAN Islam memerlukan bantuan dan sokongan daripada Allah SWT. Kita tidak dapat menyaingi kebendaan dan bilangan. Kerana sunnah perjuangan Islam sejak daripada para Rasul dan orang yang mengikuti jejak Rasul memang terkebelakang daripada aspek meterial, tetapi mendahului dari aspek spritual. Allah tidak akan memberi kemenangan kepada kita seandainya kita tidak memenuhi ciri-ciri sebagai petugas Islam yang sebenar. Kerana kemenangan Islam amat mahal dan tidak semudah laluan smart tag, sebaliknya ia memerlukan diri kita dikasih oleh Allah SWT dan akan mendapat rahmat

daripadanya.

Jalan untuk mencapai ke arah itu mestilah melalui ibadah yang sahih dan sempurna. Hubungan antara kita dengan Allah cukup penting supaya Allah dapat membantu pergerakan kita dalam apa keadaan sekalipun. Manhaj tarbiyyah Pas menekankan supaya ahlinya memperbaiki ibadah yang baik dan sempurna.

1. Ibadah Lambang Pengabdian diri kepada Allah SWT

Seorang Muslim yang melakukan ibadah maka ia adalah lambang perhambaan diri kepada Allah SWT. Ia tidak melakukan satu ibadah kecuali kerana Allah Yang Esa. Ia mengetahui akan hakikat dirinya sebagai seorang hamba dan hubungannya dengan Allah. Oleh itu seorang manusia tidak menyembah kecuali kepada yang berhak disembah.

Apabila seorang hamba yang menunaikan satu amalan dengan niat kerana Allah maka mereka akan merasakan diri mereka sebagai seorang hamba bukan sebagai seorang majikan dengan tuannya. Serang Muslim tidak akan mengabdikan diri kepada Allah sekira dirinya merasakan mereka bukan hamba kepada Allah. Hubungan manusia dengan Allah bukan sebagai rakyat dengan kerajaan, bukan pekerja dengan majikan.

Justeru itu apa yang dilakukan manusia dan tindakan yang dilaksanakan kesemuanya adalah manifestasi perhambaan kepada Allah yang sebenar. Dan inilah matlamat Allah menjadikan kita di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri

kepada-Ku. (Al-Zariat:56)

2. Membentuk Peribadi Mukmin Yang Sejati

Peribadi yang unggul dapat dibentuk melalui ibadah kepada Allah. Seorang yang melakukan ibadah ia dikehendaki menyucikan zahir dan batin. Penyucian ini membolehkan jiwa seorang layak untuk menerima perubahan diri bagi membentuk peribadi Muslim yang sejati. Peribadi yang unggul adalah pancaran kalbu dalaman. Oleh itu dalam Islam seorang itu tidak boleh untuk berpura-pura baik, kerana lama kelamaan hakikatnya tetap diketahui.

Seorang yang melakukan ibadah yang sebenar akan merasakan dirinya sentiasa bermuraqabah dengan Allah SWT. Ibadah yang dihayati akan membentuk peribadi yang mengawasi diri sendiri dan menumbuhkan akhlak kesabaran dalam jiwa seseorang. Ini adalah perkara yang penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia merasakan konsep ihsan kerana perbuatannya sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah;

"Ihsan ialah kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah dan sekiranya kamu tidak melihat Allah tetapi Allah melihat kamu."

3. Ibadah Dapat Mencegah Melakukan Kemungkaran

Ibadah yang dilakukan oleh seorang hamba dapat mendidik manusia daripada melakukan perkara mungkar dan keji. Kerana ia sentiasa bermunajat kepada Allah dan berikrar dengan penuh khusuk dan tawaduk. Segala amalan yang dilakukan akan menimbulkan kesedaran yang tinggi kepada dirinya betapa besar kuasa Allah dan akan menambah ketakutan untuk melakukan sebarang perkara yang dilarang.

Sebagai contoh ibadah solat akan dapat melahirkan peribadi yang boleh mencegah kemungkaran. Justeru itu mereka yang melakukan solat tetapi masih melaksanakan kemungkaran sebenarnya mereka belum sempurna solat mereka dalam erti kata yang sebenar. Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar."

(Al-Ankabut 29:45)

4. Prihatin Kepada Penderitaan Orang Lain

Ibadah dalam Islam akan menjadi seorang Muslim merasai penderitaan dan kelaparan saudara mereka yang kurang bernasib baik. Ini mendorong mereka mengambil berat kepada orang yang susah. Sebagai contoh ibadah puasa yang menahan diri daripada makan dan minum daripada terbit matahari sehingga tergelincir matahari. Sepanjang hari ia menahan diri daripada berlapar tidak lain dan tidak bukan untuk mengambarkan perhambaan yang sebenar di sisi Allah SWT.

Sepanjang puasa yang ia lakukan dengan kelaparan yang dirasai barulah ia menginsafi beginilah nasib mereka yang tidak cukup bekalan untuk makan. Kesemua ini akan memberi motivasi kepada dirinya untuk melaksanakan tanggungjawab kepada orang lain yang menderita. Seorang Muslim yang mengabdikan diri kepada Allah akan mengambil tahu penderitaan orang lain. Sekiranya ia tidak mengambil berat berkenaan dengan penderitaan orang lain maka ia bukan dari kalangan Muslim yang sejati. Sebab itu setiap Muslim perlu prihatin kepada penderitaan orang lain seperti kelaparan di Afghanistan, Bosnia, Checnya, Kosovo, Plestin, Acheh dan sebagainya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

"Sesiapa yang tidak mengambil tahu mengenai urusan seorang Muslim ia bukan

dari kalangan aku."

5. Mengukuhkan Ikatan Sosial Dalam Masyarakat

Ajaran Islam ialah ajaran yang merangkumi hubungan antara Allah dengan manusia dan manusia dengan manusia. Seorang itu dianggap tidak betul dari segi agamanya kerana tidak memperdulikan ikatan sosial dalam masyarakat. Sebagai contoh ibadah zakat yang mesti dikeluarkan oleh mereka yang kaya kepada orang yang tidak bernasib baik. Firman Allah SWT yang bermaksud;"Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah sebahagian yang baik dari usahamu dari hasil yang kami keluarkan dari bumi" (Al-Imran:97)

Ibadah zakat akan membersihkan jiwa daripada penyakit bakhil, kerana menyedari bahawa harta ini milik Allah dipinjamkan buat sementara waktu sahaja kepada manusia. Dengan ini ia akan mengukuhkan ikatan sillaturrahim antara yang kaya dengan yang miskin. Apabila ini berlaku ia dapat mengurangkan perasaan hasad dengki di kalangan orang yang susah kerana kemelaratan mereka tidak dilupai oleh orang kaya. Kebiasaannya orang miskin jiwa mereka kecil dan perasaan mereka sering terguris. Tetapi dengan adanya ibadah zakat perkara ini dapat mengubat hati mereka untuk hidup seperti orang lain juga. Sebab itulah institusi zakat akan dapat membangunkan kehidupan sosial dengan lebih baik maka ia akan memberi manfaat kepada semua lapisan masayarakat.

6. Membentuk Peribadi Yang Bersatupadu

Islam ialah agama perpaduan, bukan perpecahan. Semua Rasul yang diuruskan oleh Allah SWT mengajar manusia supaya bersatu padu di bawah panji Islam dan kalimah tauhid, bukan atas ikatan bangsa dan warna kulit. Justeru itu banyak ibadah dalam Islam menjuruskan penganutnya supaya berpadu di dalam masyarakat. Contohnya ibadah solat jamaah dan ibadah haji kesemuanya menuntut supaya mereka mengeratkan hubungan kemesraan dari kalangan mereka.

Mereka dikehendaki berhimpun dalam satu tempat tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk memperlihatkan tanda penyatuan mereka ditengah-tengah masyarakat. Ibadah solat berjamaah yang didirikan di tengah-tengah masyarakat di tempat yang tertentu seperti surau atau masjid. Kerana itulah Rasulullah SAW telah membina tapak awal ketika baginda berhijrah ke Madinah ialah masjid. Inilah asas yang utama yang perlu diwujudkan di tengah-tengah masyarakat Muslim. Peribadi yang melakukan ibadah kepada Allah dengan sebenar-benar akan merasakan dirinya mesti bersifat ingin bersatu bukan hendak berpecah. Mereka akan bersatu diatas roh akidah bukan diatas prinsip puak atau bangsa.

Firman Allah SWT yang bermaksud; "Hendaklah kamu berpegang dengan tali Allah sekaliannya, dan janganlah kamu berpecah dan ingatlah ketika kamu berada di dalam keadaan bermusuh-musuhan maka kami telah menjinakkan hati kamu sehingga kamu menjadi bersaudara" (Al-Imran:103)

Kesimpulan

Kita tidak boleh meraih sokongan dan kemenangan disisi Allah seandainya tidak membetulkan konsep ibadah dengan Allah SWT. Ibadah dalam Islam mestilah merangkumi semua aspek kehidupan yang mempunyai perkaitan antara dunia dan akhirat. Bukan hanya sekadar di dalam masjid atau di dalam surau semata-mata tetapi ia merangkumi seluruh aspek kehidupan yang berpaksikan untuk Allah maka itu tergolong dalam ibadah dalam Islam.

Kita mesti mengharapkan Allah kerana kita lemah dari sudut material. Sekiranya kita sama dnegan mereka dengan mengenepikan aspek ibadah maka kemenangan agak sukar untuk diperolehi. Program pembinaan diri di kalangan anggota gerakan Islam melalui penghayatan ibadah akan mengukukhkan peribadi dan memberi motivasi untuk melaksanakan amanah dalam jamaah. Kepincangan kerja dan kemalasan untuk melaksanakan amanah yang dipikul berkait rapat dengan ibadah yang dilaksanakan.


Dakwah silmiyyah dan jihad Nabi


Tazkirah:TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

SATU pandangan secara umum mengenai jihad dan dari segi syariah, meskipun perbincangan ini masih berkisar dalam persiapan Nabi s.a.w. untuk berhijrah ke Madinah, namun ia mempunyai kaitan rapat dengan jihad.

Justeru itu, wajarlah kita hentikan sejenak topik perbincangan yang sedang diperkatakan, iaitu mengenai hijrah Nabi s.a.w.. Supaya dapat memberikan tumpuan dengan jelas terhadap persoalan jihad dan sama ada dari sudut masyru'iyyah ataupun marhalah-marhalah serta peringkat-peringkatnya.

Oleh kerana perbahasan mengenai jihad adalah suatu yang amat penting, menyebabkan golongan tentera upahan bagi pihak orientalis barat secara berterusan melakukan serangan terhadap pemikiran umat Islam supaya roh jihad itu padam dari dada dan jiwa kaum muslimin.

Sebahagian dari bahan atau senjata untuk menyerang umat Islam ialah menggunakan bahan-bahan palsu yang dicampur aduk dengan barang yang sebenar. Oleh kerana kepalsuan itu sering digilap dan diperkatakan dengan cara dan pendekatan yang menarik, maka kepalsuan itu akhirnya diterima dan diyakini oleh sebahagian manusi, termasuk dari kalangan umat Islam yang telah didik oleh barat, ataupun mereka yang lemah imannya dan cetek ilmu pengetahuan agamanya.

Di antara sasaran perang pemikiran yang dihalakan oleh puak orientalis khusunya ialah mengenai jihd. Bagaimanapun bagi golongan mukmin yang kehidupan mereka berpandukan kepada aqidah yang sebenar, maka serangan pemikira itu tidak menjejaskan pendirian mereka. namun pihak musuh Islam tidak kenal erti kecewa, sebaliknya mereka tetap berusaha dengan segala ikhtiar dan kesungguhan, menyebabkan bagi sesetengah orang yang cetek pengetahuan agamanya akan terpengaruh juga dengan perbahasan golongan tentera upahan di pihak orientalis itu, khususnya mengenai jihad.

Golongan orientalis melakukan serangan pemikiran itu tujuannya tidak lain ialah untuk menimbulkan keraguan terhadap peranan jihad di kalangan ummah, di samping niat jahat mereka melakukan khianat terhadap Islam secara keseluruhannya. Janganlah kita merasa hairan, mengapakah golongan tersebut memilih topik jihad menjadi 'target' mereka dalam serangannya, kerana di antara ajaran Islam yang sangat digeruni ialah jihad.

Justeru itu mereka menggunakan apa jua bidang ilmu, termasuk bidang komunikasi untuk menyerang Islam khususnya mengenai jihad, supaya orang Islam tidak lagi menganggap bahawa jihad sebagai penting untuk dilaksanakan.

Sesungguhnya orang-orang kafir atau orang-orang yang anti-Islam, sama ada orang yang sebenarnya kafir atau dari kalangan orang munafiq, sangat sedar bahawa sekiranya semangat jihad itu sentiasa segar dalam jiwa umat Islam dan jihad menjadi satu unsur yang begitu berkesan dalam hidup orang-orang yang beriman, maka tidak ada suatu kekuatan yang boleh menyekat gerakan umat Islam. Oleh yang demikian satu usaha mesti dilakukan oleh musuh-musuh Islam supaya jihad hapus dari jiwa umat Islam.

Dalam sejarah moden, dunia telah menyaksikan kebangkitan satu juta umat Islam Chechnya, yang tidak gentar dan bangkit berperang terhadap Rusia yang rakyatnya melebihi tiga ratus juta. Walaupun Rusia mempunyai senjata canggih dan hebat, berkali-kali mereka mendakwa telah berjaya menumpaskan pasukan jihad Chechnya serta menghancurleburkan dan menawan Grosni ibu kota Chechnya, namun akhirnya tentera Russia yang takut mati itu berkubur di bandar Grosni oleh seragan balas tentera Islam Chechnya. Tentera Islam Chechnya melawan dengan semangat jihad yang penuh membara.

Kepahitan berdepan dengan tentera jihad Islam Chechnya itu masih digeruni oleh generasi Russia hingga kini. Mereka terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan pemimpin dan umat Islam Chechnya, setelah hasrat mereka gagal hendak menghapuskan perjuangan umat Chechnya yang cintakan syahid itu.

Kalimah jihad itu sentiasa dicurigai oleh anak didik penjajah barat di mana saja mereka berada. Setiap kali kalimah itu diucapkan oleh para pejuang Islam, kalimah jihad itu sering disalahertikan. Gerakan Islam dicurigai dan dakwa akan melancarkan perang, pada hal jihad itu mempunyai pengertian perang yang sebenarnya, tetapi jihad juga bererti menaikkan semangat untuk berkerja kuat dan berjuang secara bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kalimah Allah, dan memenangkan Islam dari dimusnahkan oleh musuh-musuhnya.

Justeru itu sayugialah bagi pihak barat yang sentiasa memberi amaran agar pihak mereka tidak memandang 'enteng' terhadap seruan jihad Islam, puak-puak mereka sering diperingatkan agar terus menentang jihad Islam itu tanpa mengenal erti noktah. Jihad mesti dimatikan dari jiwa umat Islam, dilawan dengan cara yang bersistematik, sehingga akhirnya semangat jihad itu akan beransur-ansur dingin dan padam dari jiwa umat. Mereka tetap berharap pada akhirnya generasi Islam tidak lagi memperkatakan tentang jihad dan lenyap dari dada umat Islam.

Apa makna jihad dan apakah tujuan jihad? dan apakah peringkat-peringkatnya serta kesudahan jihad itu? Selain itu apakah kekeliruan tentang jihad serta tafsiran dan pembahagian yang dipaksakan terhadapnya oleh golongan tertentu yang tidak sedikitpun ianya diperlukan.

Jihad bererti memberikan sepenuh tenaga bagi menegakkan kalimah Allah (al-Quran) dan untuk membangunkan masyarakat Islam, pengorbanan tenaga untuk jihad itu meliputi tenaga fikir, tenaga bercakap, tenaga harta, tenaga pengaruh, tenaga ilmu dan seterusnya apa jua tenaga yang dimiliki oleh umat Islam, selagi tenaga itu diperlukan untuk meninggikan dan menegakkan kalimah Allah SWT. Sehingga kalimah Allah atau peraturan Allah sahaja yang berdaulat di muka bumi ini, mengatasi peraturan-peraturan dan hukum ciptaan manusia.

Adapun menggunakan tenaga sehingga ke peringkat berperang, itu adalah satu dari jalan jihad. Kerana memberi tenaga, nyawa atau harta sampai ke peringkat berperang, ia mempunyai alasan dan hujah-hujah tertentu bagi meninggi dan mempertahankan kalimah Allah. Sesungguhnya Islam itu tidak pernah dimulai dengan peperangan, tetapi ia menjadi suatu keperluan untuk mempertahan Islam sekiranya cabaran yang mendatang itu memerlukan perang. Jika musuh menyerang umat Islam tidak akan berpeluk tubuh, kerana selagi semangat jihad tetap subur dalam jiwa, mereka tidak redha Islam dihina oleh musuhnya.

Untuk memahami erti jihad yang sebenarnya, adalah menjadi suatu kewajipan kembali menyingkap sejarah Nabi s.a.w., atau sejarah yang ditafsir sendiri oleh baginda s.a.w.. Kerana orang yang pertama sekali mentafsir al-Quran ialah Nabi Muhammad s.a.w.. Antara ayat yang terkandung di dalam al-Quran ialah ayat mengenai jihad, baginda s.a.w. bukan sahaja mentafsir ayat-ayat tersebut dengan lidah, tetapi juga mentafsirkan ayat-ayat jihad itu dengan perbuatan dan tindakan.

Di antara peringkat jihad itu ialah jihad dipermulaan Islam, terhenti di atas dakwah secara aman tetapi berdiri teguh untuk Islam walaupun terpaksa berdepan dangan mihnah (rintangan) dan segala cabaran. Ini bererti waktu Nabi s.a.w. berada di peringkat Makiyyah, Nabi sudahpun berjihad. Tetapi jihad Nabi s.a.w. di peringkat awal itu tidak membabitkan peperangan. Inilah yang dimaksudkan tentang jihad itu tidak mesti bererti perang, tetap dalam sejarah Nabi selama tiga belas tahun di peringkat makiyah itu sememangnya Nabi bekerja kuat, bersungguh-sungguh berdakwah dan berdiri teguh walaupun pelbagai mehnah yang mendatang.

Ini adalah jihad Nabi di peringkat pertama yang ditafsirkan sendiri oleh Nabi s.a.w. dalam bentuk ucapan dan tindakan. Inilah yang dikatakan sebagai peringkat dakwah silmiyyah, iaitu menyampaikan dan menerangkan al-Quran tanpa jemu. Sesungguhnya al-Quran itu tidak pernah buruk dalam pembacaan, semakin di baca dan dijelaskan seolah-olah ia baru diturunkan oleh Allah SWT dari langit.

GERAKAN ISLAM - TUNTUTAN DAN PRINSIP




Dunia Islam pada hari ini sedang menghadapi berbagai-bagai permasalahan yang mengongkongi segenap

kehidupan orang-orang Islam. Permasalahan ini berpunca daripada kejahilan serta kelalaian ummat Islam sendiri terhadap agama yang mereka anuti itu. Akibat daripada itu maka timbullah berbagai-bagai fahaman assabiyyah dan sekular. Kepercayaan ini telah merosakkan asas aqidah ummat Islam sehinggalah mereka berpecah belah dan berhasad dengki di antara satu sama lain. Keadaan ini telah memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan atau melemahkan mereka semua sehingga mereka sudah tidak terdaya lagi untuk bangun menyuarakan kebenaran Islam. Kekuatan mereka menjadi lemah dan musuh-musuh Islam datang dari segenap penjuru menyerang mereka dan melakukan segala bentuk kekejaman terhadap umat Islam. Islam tidak merelakan semua ini terjadi dan melihat kaum muslimin menyerah kalah dan tunduk berlutut di hadapan musuh-musuh Allah dalam keadaan yang terhina dan memalukan.

Oleh kerana itu Islam telah mewajibkan kepada penganutnya supaya bangkit semula dari kejatuhan yang memalukan itu untuk terus berusaha, beramal dan berkorban apa sahaja untuk membela Islam yang suci ini. Mereka hendaklah terus berjihad pada jalan Allah untuk menegakkan agama Allah dan membangunkan semula Daulah Islamiyyah di atas muka bumi ini.

Banyak terdapat nas-nas yang mengandungi kewajipan meneruskan jihad dan berada di dalam Jamaah, di antaranya adalah sebagaimana berikut :

1 - Firman Allah Taala di dalam Al Qur’an :

Maksudnya:

" Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pembantu-pembantu ( pejuang-pejuang ) kepada agama Allah sepertimana pernah diucapkan oleh Isa anak Maryam kepdda pengikut-pengikutnya yang setia : Siapakah pembantu-pembantu aku ke jalan Allah, lalu berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia: Kamilah pembantu-pembantu agama Allah : Maka berimanlah sebahagian daripada Bani Israel dan kufurlah sebahagiannya yang lain, maka Kami memberi pertolongan kepada golongan yang beriman lalu mereka menang dalam pertarungan menentang musuh mereka."

2 - Individu yang telah memilih untuk beramal di dalam Jamaah Islamiyyah wajib berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang mempunyai keimanan yang teguh terhadap amal jama’i dengan segala tuntutannya, sehingga tugas yang penting ini menjadi sebati serta dapat menguasai dirinya.

Di dalam surah Al Hajj ayat 77 - 78 Allah Taala telah berfirman :

Maksudnya:

" Wahai orang-orang yang beriman ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan solah) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya) serta kerjakanlah ‘amal-’amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu kejalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (Untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama (ikutilah) agama bapa kamu Ibrahim dan Dia menamakan kamu orang-orang lsla semenjak dahulu dan dalam (Al Qur’an) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang- orang yang memberi keterangan kepada ummat manusia tentang yang benar dan yang salah. Oleh itu dirikanlah solah dan berikanlah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah. Dialah pelindungmu, maka (Allah yang demikian sifatnya), Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolon gan."

3- Setiap individu yang telah menggabungkan dirinya dengan Jamaah Islamiyyah mestilah menyampaikan Islam kepada semua lapisan masyarakat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Mereka ini mesti memperkembangkan idea atau fikrah Islamiyyah kepada ummat manusia agar mereka itu mahu kembali menghayati Islam yang Syumul di dalam segenap kehidupan mereka. Kewajipan ini jelas sebagaiamana yang terdapat di dalam sabda Rasulullah S.A.W., antara lainnya Baginda telah bersabda :

Maksudnya :

" Orang-orang yang hadir pada hari ini hendaklah meyampaikan kepada orang yang tidak hadir."

4 - Penerusan di dalam melaksanakan tuntutan yang maha suci ini adalah menjadi tanggunjawab terhadap ummat Islam seluruhnya. Penerusan ini terus wujud, walaupun golongan yang mengambil tanggungjawab ini ditindas dan ditekan dengan begitu hebat namun mereka terus mara sampailah kepada penghujungnya, iaitu golongan yang terakhir yang memerangi dajjal. Rasulullah S.A.W. telah bersabda, antara lainnya ialah :

Maksudnya :

" Akan terus wujud segolongan dari kalangan ummatku yang terus berjuang secara berterus terang di atas jalan yang benar menentang mereka-mereka yang menyanggahinya, sehinggalah yang terakhir di kalangan mereka memerangi dajjal."