Thursday, August 7, 2008

Dakwah silmiyyah dan jihad Nabi


Tazkirah:TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT

SATU pandangan secara umum mengenai jihad dan dari segi syariah, meskipun perbincangan ini masih berkisar dalam persiapan Nabi s.a.w. untuk berhijrah ke Madinah, namun ia mempunyai kaitan rapat dengan jihad.

Justeru itu, wajarlah kita hentikan sejenak topik perbincangan yang sedang diperkatakan, iaitu mengenai hijrah Nabi s.a.w.. Supaya dapat memberikan tumpuan dengan jelas terhadap persoalan jihad dan sama ada dari sudut masyru'iyyah ataupun marhalah-marhalah serta peringkat-peringkatnya.

Oleh kerana perbahasan mengenai jihad adalah suatu yang amat penting, menyebabkan golongan tentera upahan bagi pihak orientalis barat secara berterusan melakukan serangan terhadap pemikiran umat Islam supaya roh jihad itu padam dari dada dan jiwa kaum muslimin.

Sebahagian dari bahan atau senjata untuk menyerang umat Islam ialah menggunakan bahan-bahan palsu yang dicampur aduk dengan barang yang sebenar. Oleh kerana kepalsuan itu sering digilap dan diperkatakan dengan cara dan pendekatan yang menarik, maka kepalsuan itu akhirnya diterima dan diyakini oleh sebahagian manusi, termasuk dari kalangan umat Islam yang telah didik oleh barat, ataupun mereka yang lemah imannya dan cetek ilmu pengetahuan agamanya.

Di antara sasaran perang pemikiran yang dihalakan oleh puak orientalis khusunya ialah mengenai jihd. Bagaimanapun bagi golongan mukmin yang kehidupan mereka berpandukan kepada aqidah yang sebenar, maka serangan pemikira itu tidak menjejaskan pendirian mereka. namun pihak musuh Islam tidak kenal erti kecewa, sebaliknya mereka tetap berusaha dengan segala ikhtiar dan kesungguhan, menyebabkan bagi sesetengah orang yang cetek pengetahuan agamanya akan terpengaruh juga dengan perbahasan golongan tentera upahan di pihak orientalis itu, khususnya mengenai jihad.

Golongan orientalis melakukan serangan pemikiran itu tujuannya tidak lain ialah untuk menimbulkan keraguan terhadap peranan jihad di kalangan ummah, di samping niat jahat mereka melakukan khianat terhadap Islam secara keseluruhannya. Janganlah kita merasa hairan, mengapakah golongan tersebut memilih topik jihad menjadi 'target' mereka dalam serangannya, kerana di antara ajaran Islam yang sangat digeruni ialah jihad.

Justeru itu mereka menggunakan apa jua bidang ilmu, termasuk bidang komunikasi untuk menyerang Islam khususnya mengenai jihad, supaya orang Islam tidak lagi menganggap bahawa jihad sebagai penting untuk dilaksanakan.

Sesungguhnya orang-orang kafir atau orang-orang yang anti-Islam, sama ada orang yang sebenarnya kafir atau dari kalangan orang munafiq, sangat sedar bahawa sekiranya semangat jihad itu sentiasa segar dalam jiwa umat Islam dan jihad menjadi satu unsur yang begitu berkesan dalam hidup orang-orang yang beriman, maka tidak ada suatu kekuatan yang boleh menyekat gerakan umat Islam. Oleh yang demikian satu usaha mesti dilakukan oleh musuh-musuh Islam supaya jihad hapus dari jiwa umat Islam.

Dalam sejarah moden, dunia telah menyaksikan kebangkitan satu juta umat Islam Chechnya, yang tidak gentar dan bangkit berperang terhadap Rusia yang rakyatnya melebihi tiga ratus juta. Walaupun Rusia mempunyai senjata canggih dan hebat, berkali-kali mereka mendakwa telah berjaya menumpaskan pasukan jihad Chechnya serta menghancurleburkan dan menawan Grosni ibu kota Chechnya, namun akhirnya tentera Russia yang takut mati itu berkubur di bandar Grosni oleh seragan balas tentera Islam Chechnya. Tentera Islam Chechnya melawan dengan semangat jihad yang penuh membara.

Kepahitan berdepan dengan tentera jihad Islam Chechnya itu masih digeruni oleh generasi Russia hingga kini. Mereka terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan pemimpin dan umat Islam Chechnya, setelah hasrat mereka gagal hendak menghapuskan perjuangan umat Chechnya yang cintakan syahid itu.

Kalimah jihad itu sentiasa dicurigai oleh anak didik penjajah barat di mana saja mereka berada. Setiap kali kalimah itu diucapkan oleh para pejuang Islam, kalimah jihad itu sering disalahertikan. Gerakan Islam dicurigai dan dakwa akan melancarkan perang, pada hal jihad itu mempunyai pengertian perang yang sebenarnya, tetapi jihad juga bererti menaikkan semangat untuk berkerja kuat dan berjuang secara bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kalimah Allah, dan memenangkan Islam dari dimusnahkan oleh musuh-musuhnya.

Justeru itu sayugialah bagi pihak barat yang sentiasa memberi amaran agar pihak mereka tidak memandang 'enteng' terhadap seruan jihad Islam, puak-puak mereka sering diperingatkan agar terus menentang jihad Islam itu tanpa mengenal erti noktah. Jihad mesti dimatikan dari jiwa umat Islam, dilawan dengan cara yang bersistematik, sehingga akhirnya semangat jihad itu akan beransur-ansur dingin dan padam dari jiwa umat. Mereka tetap berharap pada akhirnya generasi Islam tidak lagi memperkatakan tentang jihad dan lenyap dari dada umat Islam.

Apa makna jihad dan apakah tujuan jihad? dan apakah peringkat-peringkatnya serta kesudahan jihad itu? Selain itu apakah kekeliruan tentang jihad serta tafsiran dan pembahagian yang dipaksakan terhadapnya oleh golongan tertentu yang tidak sedikitpun ianya diperlukan.

Jihad bererti memberikan sepenuh tenaga bagi menegakkan kalimah Allah (al-Quran) dan untuk membangunkan masyarakat Islam, pengorbanan tenaga untuk jihad itu meliputi tenaga fikir, tenaga bercakap, tenaga harta, tenaga pengaruh, tenaga ilmu dan seterusnya apa jua tenaga yang dimiliki oleh umat Islam, selagi tenaga itu diperlukan untuk meninggikan dan menegakkan kalimah Allah SWT. Sehingga kalimah Allah atau peraturan Allah sahaja yang berdaulat di muka bumi ini, mengatasi peraturan-peraturan dan hukum ciptaan manusia.

Adapun menggunakan tenaga sehingga ke peringkat berperang, itu adalah satu dari jalan jihad. Kerana memberi tenaga, nyawa atau harta sampai ke peringkat berperang, ia mempunyai alasan dan hujah-hujah tertentu bagi meninggi dan mempertahankan kalimah Allah. Sesungguhnya Islam itu tidak pernah dimulai dengan peperangan, tetapi ia menjadi suatu keperluan untuk mempertahan Islam sekiranya cabaran yang mendatang itu memerlukan perang. Jika musuh menyerang umat Islam tidak akan berpeluk tubuh, kerana selagi semangat jihad tetap subur dalam jiwa, mereka tidak redha Islam dihina oleh musuhnya.

Untuk memahami erti jihad yang sebenarnya, adalah menjadi suatu kewajipan kembali menyingkap sejarah Nabi s.a.w., atau sejarah yang ditafsir sendiri oleh baginda s.a.w.. Kerana orang yang pertama sekali mentafsir al-Quran ialah Nabi Muhammad s.a.w.. Antara ayat yang terkandung di dalam al-Quran ialah ayat mengenai jihad, baginda s.a.w. bukan sahaja mentafsir ayat-ayat tersebut dengan lidah, tetapi juga mentafsirkan ayat-ayat jihad itu dengan perbuatan dan tindakan.

Di antara peringkat jihad itu ialah jihad dipermulaan Islam, terhenti di atas dakwah secara aman tetapi berdiri teguh untuk Islam walaupun terpaksa berdepan dangan mihnah (rintangan) dan segala cabaran. Ini bererti waktu Nabi s.a.w. berada di peringkat Makiyyah, Nabi sudahpun berjihad. Tetapi jihad Nabi s.a.w. di peringkat awal itu tidak membabitkan peperangan. Inilah yang dimaksudkan tentang jihad itu tidak mesti bererti perang, tetap dalam sejarah Nabi selama tiga belas tahun di peringkat makiyah itu sememangnya Nabi bekerja kuat, bersungguh-sungguh berdakwah dan berdiri teguh walaupun pelbagai mehnah yang mendatang.

Ini adalah jihad Nabi di peringkat pertama yang ditafsirkan sendiri oleh Nabi s.a.w. dalam bentuk ucapan dan tindakan. Inilah yang dikatakan sebagai peringkat dakwah silmiyyah, iaitu menyampaikan dan menerangkan al-Quran tanpa jemu. Sesungguhnya al-Quran itu tidak pernah buruk dalam pembacaan, semakin di baca dan dijelaskan seolah-olah ia baru diturunkan oleh Allah SWT dari langit.

No comments: