FIQH AMAL ISLAMI
OLEH DATO’ HAJI HARUN TAIB
MUQADDIMAH
Memahami Islam, perjuangan dan gerak kerjanya adalah suatu perkara yang sangat mustahak bagi setiap orang yang mungkin menceburkan dirinya di dalam perjuangan Islam. Jika tidak, mungkin kegiatan dan tindakannya akan bertentangan dan menyimpang jauh dari kehendak Islam. Akhirnya gerakan menjadi hancur dan para pejuang menjadi mangsa.
Kertas ini cuba memberi gambaran ringkas berkenaan tajuk “kefahaman” agar setiap yang terlibat dapat menilai dan membuat keputusan dan tindakan yang betul selaras dengan kehendak Islam.
MEMAHAMI ISLAM
Semua yang terlibat di dalam gerakan Islam memahami:
a) Bahawa Islam itu agama yang lengkap, merangkumi seluruh bidang kehidupan manusia, aqidah dan syariah, agama dan negara. Oleh kerana itu, ia mestilah bersedia untuk membetulkan aqidahnya, ibadahnya dan lain-lain perkara supaya selaras dengan kehendak al-Quran dan as-Sunnah.
b) Ia hendaklah memahami bahawa al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qias itu merupakan rujukan bagi orang-orang Islam, pendapat sesiapa jua pun yang bertentangan dengan sumber-sumber tersebut tidak boleh dihormati dan dipatuhi.
c) Oleh itu, pendapat pimpinan yang tidak berlawanan dengan sumber-sumber tersebut hendaklah dihormati dan dipatuhi sekalipun tidak sama dengan pendapat sendiri.
d) Perselisihan pendapat dalam masalah furu’ adalah perkara boleh dan tidak dapat dielakkan. Oleh kerana itu, setiap muslim yang belum mencapai martabat ijtihad hendaklah ia menerima pakai mana-mana pendapat alim ulama’ yang mu’tabar dan janganlah dijadikan berlainan pendapat serta pandangan dalam masalah furu’ itu punca pertelingkahan dan perpecahan dikalangan anggota.
e) Setiap anggota hendaklah faham, ia tidak boleh mengkafirkan seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah selama mana ia beramal dengan tuntutan dan kehendak dua kalimah syahadah itu dan selama mana ia tidak mengeluarkan kata-kata yang menjadikan seseorang itu terkeluar daripada Islam atau ia mengingkari sesuatu yang diketahui secara dharuri atau secara mudah dan tidak payah berfikir di dalam Islam. Seperti ia mengingkari haramnya ‘riba’ atau haramnya ‘arak’ atau ia mengingkari seperti wajibnya menjalankan syariat Islam dalam pemerintahan negara atau selama mana ia tidak melakukan perbuatan yang boleh dita’wilkan kecuali kufur, seperti ia menyembah berhala atau seperti ia menghina kitab suci al-Quran al-Karim.
MEMAHAMI HAKIKAT PERJUANGAN ISLAM
Untuk memahami perjuangan Islam, kita haruslah merujuk kepada kandungan satu hadis Nabi yang diriwayatkan oleh seorang sahabat yang bernama Suhain ar-Rumi. Antara isi kandungannya ialah:
1) Bahawa Islam seperti kita fahamkan itu, merupakan suatu perjuangan yang sambung-menyambung dan tali menali dari segi perjuangan yang pernah diperjuangkan oleh para anbiya’ dan mursalin, bermula dari perjuangan Nabi Allah Adam a.s sampailah kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW yang disambung semula secara terus-menerus oelh para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang datang selepas mereka hingga ke hari ini dan hari yang akan datang.
2) Perjuangan ini sering bermuwajahah dengan golongan yang berkuasa di dalam masyarakat terutamanya para pemerintah yang tidak berdasarkan kepada Islam dan sekaligus menjadi penghalang kepada kerja-kerja Islam. Hal ini boleh dilihat dengan jelas, bila kita cuba mengingati perjuangan Nabi Ibrahim a.s yang ditentang oleh Namrud, Nabi Musa a.s ditentang oleh Firaun dan lain-lain. Bukan sahaja ia menjadi penghalang tetapi juga berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan dasar pemerintahannya. Hatta walaupun para pemimpin yang ada itu pergi, namun mereka tetap mahu melihat bahawa dasar pemerintahannya itu terus wujud dan kekal.
3) Untuk menjamin sistem pemerintahan yang mereka anuti itu kekal, bermacam-macam usaha yang mereka lakukan. Antaranya mengadakan pasukan pertahanan yang kuat, pasukan keselamatan yang rapi, sistem pendidikan dan pembelajaran bermatlamat, para petugas dan pegawai yang terlatih kepimpinan masyarakat yang berkeyakinan, sumber ekonomi yang terjamin dan sebagainya.
4) Pertentangan antara pejuang Islam dengan pihak yang berkuasa di dalam sesuatu masyarakat itu bukan disebabkan oleh hal-hal yang berkaitan dengan peribadi, tetapi merupakan pertembungan aqidah dan dasar. Hal ini jelas, bila kita mengingati kembali perhubungan di antara Nabi Musa a.s dan Firaun, sebelum menjadi Nabi dan selepas ia diutus menjadi Rasul, hubungan di antara Nabi Muhammad SAW dengan para pemimpin masyarakat Quraisy. Sebelum diangkat menjadi Nabi, baginda disanjung tinggi oleh masyarakat Quraisy sehingga baginda digelar ‘Al-Amin’. Hal ini berubah apabila baginda diisytiharkan menajdi Nabi. Gelaran al-Amin itu bertukar menjadi ahli sihir, gila, pendusta dan lain-lain.
Di zaman kini juga, tidak kurang contohnya yang boleh diambil faham oleh para da’i, khususnya di dalam negara kita yang tercinta ini. Terdapat beberapa orang individu yang pernah dikenakan tindakan undang-undang ke atas mereka sewaktu berada di dalam perjuangan Islam atas alasan yang pelbagai tetapi orang yang sama mendapat sanjungan pihak yang berkuasa apabila meninggalkan perjuangan Islam.
MEMAHAMI ISLAM DARI SUDUT GERAK KERJA UNTUK MENEGAKKANNYA
Untuk memahami Islam dari sudut ini pula, kita haruslah memerhatikan beberapa ayat yang antara lainnya seperti firman Allah, maksudnya:
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh di antara mereka ampunan dan pahala besar”. (al-Fath : 29)
Dari ayat ini, jelas proses perkembangan perjuangan Islam itu. Di mana ia bermula dengan hanya seorang sahaja iaitu Nabi Muhammad SAW. Kemudian ia berkembang daripada seorang kepada seorang yang lain sehingga menjadi suatu kekuatan yang tidak dapat dibendung lagi oleh para penentangnya. Adapun proses perkembangan dan gerak kerja yang dilakukan oleh baginda boleh kita dapati daripada pemerhatian kita akan ayat-ayat yang berikut:
Firman Allah, maksudnya:
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan engkau yang mencipta”. (al Alaq : 1)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan berikanlah peringatan kepada keluargamu yang terdekat”.(as-Syu’ara : 214)
Firman Allah, maksudnya:
“Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatnya kepada mereka kitab dab hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan”. (al-Jumu’ah : 2)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata”. (al-Kahfi : 2
Firman Allah, maksudnya:
“Tidakkah engkau melihat kepada mereka yang dikatakan kepada mereka tahanlah tangan-tanganmu dan dirikanlah sembahyang”. (an-Nisa’ : 77)
Firman Allah, maksudnya:
“Maka berterus teranglah dengan apa yang diperintahkan kepada kamu dan janganlah kamu menghiraukan tindakan golongan musyrikin”. (al-Hijr : 94)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan siapkanlah untuk mereka kekuatan semampu mungkin”. (al-Anfaal : 60)
Firman Allah, maksudnya:
“Diizinkan bagi mereka berperang (untuk melakukan sesuatu tindak balas) kerana mereka telah di zalimi…”. (al-Hajj : 39)
Firman Allah, maksudnya:
“Dan perangilah pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu”. (al-Baqarah : 190)
Memerhatikan ayat-ayat yang diutarakan di atas dengan baik dan memahaminya dengan halus dan lumat, saudara akan bertemu dengan makna dan maksudnya memahami Islam dari sudut gerak kerja untuk menegakkannya. Bertambah terang lagi, apabila saudara membaca dengan teliti keseluruhan yang tersurat dan yang tersirat di dalam perbincangan yang akan datang.
PERINGKAT KERJA YANG DILALUI OLEH JAMA’AH MUSLIMIN
Gerakan Islam hari ini merupakan lanjutan daripada gerakan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, ia mestilah mengambil kira apa yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW, rasul penamat itu.
Gerakan Islam hari ini, hendaklah melalui tiga marhalah sepertimana yang dilalui oleh pimpinan gerakan Rasulullah SAW iaitu marhalah at-Ta’rif, at-Takwin dan at-Tanfiz wal muwajahah.
Marhalah at-Ta’rif
Marhalah at-Ta’rif merupakan marhalah memperkenalkan Islam dan perjuangan Islam kepada masyarakat umum. Marhalah ini adalah marhalah kesungguhan di dalam menyampaikan da’wah dan memperkenalkan jama’ah kepada umat manusia sepertimana yang difirmankan oleh Allah, menceritakan apa yang diucapkan oleh Nabi Allah Nuh a.s. Firman Allah, maksudnya:
“Berkata Nabi Nuh a.s: “Hai Tuhanku, sesungguhnya aku menyeru kaumku siang dan malam”. (Nuh : 5)
Marhalah ini bertujuan untuk memperkenalkan Islam dan jama’ah kepada masyarakat. Ia boleh dilakukan melalui syarahan-syarahan, ceramah-ceramah, hubungan secara individu, sebaran, forum, kelas-kelas pengajian dan lain-lain.
Marhalah at-Takwin
Marhalah ini ialah merupakan marhalah pembentukan dan pembinaan untuk melahirkan tenaga mahir supaya bekerja di dalam gerakan Islam atau Jama’ah Muslimin.
Marhalah inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT, maksudnya:
“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsu dan tingkah lakunya adalah melampaui kebenaran”. (al-Kahfi : 2
Di dalam ayat ini, Allah mengingatkan baginda supaya sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang Islam (dalam bahasa gerakan; berdamping rapat dengan para anggota), sekalipun mereka miskin. Di dalam surah lain Allah berfirman, maksudnya:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad) yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan (yang ditanggung oleh) kamu yang tamakkan kebaikan bagi kamu dan kepada orang-orang yang beriman pula ia menumpahkan perasaan belas serta kasih sayang”. (at-Taubah : 12
Ayat-ayat yang kita utarakan di atas, memberi perhatian yang berat kepada orang-orang yang bertanggungjawab di dalam Jama’ah Muslimin supaya bersabar di dalam membentuk dan mendidik anggota-anggotanya.
Ayat-ayat tersebut juga mengarahkan orang-orang yang bertanggungjawab di dalam gerakan Islam supaya sentiasa memberi perhatian yang tidak putus-putus terhadap anggotanya dan menjaga mereka serta mengambil berat tentang mereka.
Ayat-ayat tersebut juga mengarahkan pihak yang bertanggungjawab di dalan al-Amal Islami supaya tidak mempedulikan apa-apa yang dilemparkan kepada mereka oleh orang-orang jahil. Sebagaimana Rasulullah tidak mengendahkan pendustaan dan lontaran batu yang dilakukan oleh orang-orang kafir samada di Mekah mahupun di Tho’if. Baginda menenangkan keluarga Yasir, bersabarlah!” Baginda tidak mengarahkan mereka bertindak balas kerana menunggu izin daripada Allah.
TARBIYYAH DAN KEGIATANNYA
Untuk mencapai tujuan dan matlamat tersebut, maka kegiatan yang hendak dilakukan hendaklah berdasarkan kepada waqi’, kedudukan dan susunan anggota. Sebagaimana yang kita semua arif, bahawa kedudukan anggota kita adalah berperingkat-peringkat seperti berikut:
i) Cawangan
ii) Kawasan
iii) Perhubungan Negeri
Peringkat Cawangan
Tarbiyyah peringkat cawangan bertujuan untuk memastikan bahawa setiap anggota memahami aqidah dengan betul dan melakukan ibadah yang sah serta memberi wala’ yang sejahtera kepada Jama’ah.
Kerana itu penekanan diberi kepada keilmuan Islam secara senang difahami samada di bidang aqidah, ibadah akhlaq dan lain-lain.
Penekanan juga diberi kepada usaha untuk membiasakan anggota dengan perkara-perkara seperti berikut:
1) menghadiri perhimpunan umum
2) menghadiri perhimpunan khusus
3) mengeluarkan zakat kepada jama’ah
4) membaca Al-Quran
5) sentiasa beramal dengan perkara-perkara yang sunat di samping yang wajib dan meninggalkan yang makruh dan haram.
Peringkat Kawasan
Matlamat tarbiyyah diperingkat ini ialah untuk melahirkan di kalangan pimpinan kawasan, pemuda dan muslimat kawasan sifat-sifat seperti
1) cintakan Allah
2) rahmat sesama mu’min
3) izzah terhadap kafirin
4) berjihad dengan mengorbankan yang murah dan mahal, harta dan nyawa dan memberi wala’ yang tidak berbelah bagi kepada Jama’ah.
Cara-caranya:
- Membiasakan diri supaya beriltizam dengan tuntutan dan keperluan di atas - Membiasakan diri untuk meneruskan pencapaian matlamat - Memberikan taat yang tidak berbelah bagi dalam perkara ma’ruf
Penekanan kepada:
1) Program keselamatan
2) Program amar Ma’ruf dan nahi munkar secara amali
3) Program untuk menarik sasaran ke dalam Jama’ah dengan tidak memilih bulu
4) Program memimpin halawah, perhimpunan, tamrin dan lain-lain
5) Program memimpin usrah dan lain-lain tindakan yang diperlukan oleh Jama’ah
Perhubungan Negeri
Tarbiyyah diperingkat ini bermatlamat untuk melahirkan di kalangan anggota sifat-sifat seperti:
- Benar
- Amanah
- Menyampaikan
- Cerdik
- Lembut
- Berhati-hati
- Suka berkhidmat
- Pemurah
- Berani dan lain-lain
Cara-caranya:
- Beriltizam dengan Islam zahir dan batin
- Beriltizam dengan pendapat/keputusan majoriti syura berpandukan kaedah yang dipakai oleh Jama’ah
Penekanan kepada dua perkara di atas hendaklah berpandukan kepada undang-undang tertinggi di dalam harakah iaitu al-Quran, as-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qias.
Perlaksanaan
Untuk mencapai tujuan dan matlamat di atas, maka cara-cara berikut hendaklah digunakan:
1. Kuliah/usrah harian, mingguan dan bulanan. Pastikan semua anggota hadir
2. Usrah mingguan atau bulanan Mingguan – peringkat cawangan Bulanan – peringakt kawasan/perhubungan
3. Tamrin – bulanan atau tiga bulan sekali Bulanan – peringkat cawangan Tiga bulan sekali – peringkat kawasan/perhubungan
4. Jenis-jenis Tamrin
a) Tamrin Haraki
b) Tamrin Siyyasi
c) Tamrin Thaqafi
d) Tamrin Riadhi
Tamrin Haraki bertujuan untuk:
1. Meyakinkan para anggota tentang harakah – ciri-ciri, matlamat dan cara
2. Penguasaan terhadap anggota dari segi harakah dan penguasaan terhadap masyarakat
3. Penguasaan terhadap harakah – yang merangkumi:
i) Usul dan kaedah yang merangkumi fikrah, keperluan-keperluan, sudut-sudut, sifat- sifat dan tabiat kerja
ii) Keselamatan yang merangkumi cara mengenal kawan dan lawan
Tamrin Siyyasi bertujuan untuk:
1. Memastikan para anggota memahami pergolakan politik negara, antarabangsa – khasnya rantau Asia Tenggara, seterusnya politik Islam dan pendekatan terhadap masalah
2. Memastikan para anggota dapat membuat pengolahan terhadap isu-isu semasa
3. Memastikan para anggota dapat bertindak dengan cekap dalam menghadapi setiap isu
Tamrin Thaqafi bertujuan untuk:
1. Memastikan supaya para anggota memahami dengan baik perkara yang berkaitan dengan Islam
2. Memastikan bahawa para anggota memiliki keperluan asas dari segi ilmu pengetahuan demi untuk menlayakkan mereka meneruskan perjuangan pada masa akan datang
Tamrin Riadhi bertujuan untuk memastikan bahawa para anggota sihat tubuh badanm pantas bergerak dan mampu untuk mempertahankan diri ketika perlu.
Pengendalian
Pengendalian tamrin ada hubung kait yang rapat dengan jenis-jenis tamrin dan matlamatnya. Di samping itu, ia pula berkaitan dengan tempat, tajuk, penceramah, keselamatan dan pengurusan. Walau bagaimanapun tertakluk kepada matlamat dan masa, maka kadang kala dapat diadakan sekaligus dengan cara mengatur program tamrin itu merangkumi matlamat-matlamat yang kita utarakan di atas.
Secara umumnya matlamat terakhir bagi marhalah ini ialah melahirkan individu muslim, keluarga dan masyarakat Islam.
Marhalah at-Tanfiz – Perlaksanaan
Marhalah ini mempunyai tiga makna:
1. Makna yang umum
Tanfiz dengan makna yang umum merangkumi segala usaha dan tenaga yang dicurahkan keluar dari diri sendiri demi untuk kepentingan dakwah Islamiyyah/gerakan Islam. Justeru itu, sebarang usaha yang dilakukan oleh seseorang anggota untuk memperkenalkan Islam dinamakan ‘Tanfiz’. Usaha yang dilakukan oleh seseorang anggota untuk pembentukan ke arah prinsip-prinsip Islam dan supaya berakhlak dengan akhlak Jama’ah juga merupakan sebahagian daripada marhalah tanfiz.
2. Makna yang khusus
Tanfiz dengan makna yang khusus ialah pergerakan harian yang berbentuk jihad yang dilakukan oleh anggota demi untuk melahirkan kejayaan di dalam mahalah-marhalah yang tertentu. Oleh kerana itu, marhalah ta’rif, takwim dan tanfiz dapat berjalan beriringan.
3. Makna yang lebih khusus
Tanfiz dengan makna lebih khusus ialah yang berbentuk jihad yang tidak pernah mengenal penat dan lelah setiap hari, yang mengorbankan masa, tenaga, wang ringgit dan segala yang ada untuk menjayakan cita-cita yang lengkap dan syumul. Ia merangkumi jihad harian dan persiapan untuk menegakkan sebuah negara Islam.
Sudah menjadi sunnah Allah bahawa kerja yang dilakukan di dalam semua peringkat tersebut akan bermuwajahah. Ini adalah disebabkan bahawa kerja-kerja ini akan melahirkan anggota masyarakat yang beramal dengan tuntutan Islam yang sama sekali berbeza dengan amalann anggota masyarakat yang sedia ada. Walaupun mereka menentang, tetapi ia terus berkembang. Bagaimanapun sabarnya orang-orang Islam terhadap tindakan-tindakan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, namun demikian mereka tidak tahan sabar melihat perkembangan Islam. Di sanalah akan berlaku muwajahah.
Para pejuang Islam haruslah mengingati dan memahami bahawa perjuangan ini adalah bermuwajahah. Golongan berkuasa (pemerintah) apabila disebut pemerintah sudah pasti ia memiliki bermacam-macam kekuatan. Untuk berhadapan dengan golongan ini kita hendaklah memiliki sifat-sifat antara lain seperti berikut:
a) Tetap dan tabah
b) Berzikir kepada Allah
c) Taatkan Allah dan RasulNya
d) Tidak bertelagah sesama sendiri
e) Bersabar sehingga persiapan telah cukup dan mampu untuk bermuwajahah
Neraca Kemampuan
Berbeza pendapat di kalangan ulama’ Islam tentang neraca kemampuan. Setengah ulama’ berpendapat paabila sampai bilangan ke angka mujahid Badar. Setengah pul berpendapat – bilangan yang selari denga firman Allah, maksudnya:
“Jika terdapat dua puluh orang yang sabar di kalangan kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh”. (al-Anfal:65)
Kita berpendapat apabila bilangan anggota yang layak berjihad berjumlah seperti yang tersebut di dalam firman Allah, maksudnya:
“Jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang dan jika di antara kamu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah”. (al-Anfal: 66)